KULIT boleh diumpamakan seperti skrin televisyen yang boleh
memaparkan apa yang berlaku di dalam tubuh manusia. Jika tubuh tidak
sihat ia boleh dilihat daripada kulit yang tidak berseri, pucat,
berjerawat dan kusam.
Bukan setakat penyakit, kulit juga menjadi agen pemberitahuan sama
ada seseorang itu diselubungi perasaan tenang, gembira atau sebaliknya.
Justeru, setiap orang pastinya mahu kelihatan segar, bertenaga, berseri dan mempunyai kulit yang mulus menawan.
Seringkali kita mengutamakan kecantikan dengan memberi penekanan dari
luaran. Tidak kira lelaki mahupun wanita, masing-masing sanggup
mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli set penjagaan kulit, makanan
tambahan dan juga vitamin.
Namun, tidak ramai yang terfikir untuk melakukan pembuangan toksin dalam badan
Jika seseorang yang tidak pernah membuang toksin sejak lahir hingga
umurnya mencecah 30 tahun, bermakna sudah macam-macam sisa toksin
terkumpul dalam badannya.
Jika sistem semula jadi tubuhnya tidak mampu untuk membuang toksin
tersebut secara semula jadi, itulah yang akan menyebabkan kulit
seseorang itu kusam, berjerawat dan banyak lagi keburukan lain.
Menurut Pengurus Produk Juvanex di Cambert (M) Sdn. Bhd., Gracia Ng,
menemukan pelbagai skop tentang kebaikan buang toksin dan cara-caranya.
Beliau yang juga seorang ahli farmasi berpengalaman, menerangkan
bahawa secara umumnya, jerawat, alahan, selesema, bau badan, mulut bau
dan banyak lagi terjadi kerana fungsi pembuangan toksin yang sepatutnya
berlaku terjadi sebaliknya. Jadi, toksin itu tetap keluar namun dalam bentuk cela pada kulit manusia.
Ng menerangkan, simptom di atas hanya yang boleh dilihat di wajah, sedangkan, di dalam organ tubuh yang tidak pernah dibuang toksin akan menyebabkan kesan yang lebih tidak elok.
Definisi buang toksin atau lebih popular dengan sebutan detox sebenarnya amat berkait rapat dengan sistem pencernaan dan hati manusia.
Menurut Ng, toksin terdapat hampir di semua organ manusia, di mana
sebahagian besarnya terhasil apabila sisa makanan yang tidak dicerna
sepenuhnya, pemakanan ubat-ubatan kimia, merokok, pengambilan minuman
keras dan pemakanan yang tidak seimbang, tidak dapat dikeluarkan dari
dalam tubuh.Justeru, sisa-sisa ini akan terkumpul di mana-mana bahagian dalam organ tubuh manusia.
Sisa-sisa ini akan terkumpul untuk satu jangka masa dan menghasilkan
toksin. Sepatutnya semua sisa-sisa ini dikeluarkan dengan cara semula
jadi membabitkan dua organ utama utama iaitu hati dan usus.
Jadi kalau kita hendak pembersihan yang menyeluruh, dua organ
tersebut perlu diberi perhatian kerana ia merupakan organ yang terlibat
dalam pembersihan sisa toksin dari dalam badan, ujar Ng.
Rutin pembuangan air besar terganggu
Antara kaedah penyingkiran toksin secara semula jadi ialah melalui
perkumuhan seperti pembuangan air besar yang perlu berlaku
sekurang-kurang sekali sehari bagi orang normal.
Pengalaman beliau sebagai seorang ahli farmasi, wanita lebih kerap
mengalami masalah pembuangan air besar. Ada kes seorang wanita yang
hanya membuang air besar seminggu sekali.
Sebenarnya masalah ini berkaitan dengan corak pemakanan yang tidak
betul seperti kurang mengambil makanan berserat dan minum air masak,
kurang bersenam serta pengambilan ubat termasuk ubat untuk kurus.
Sebenarnya, sebarang pengambilan ubat untuk kurus yang melawaskan
pembuangan air besar akan menyebabkan gangguan pada rutin pembuangan air
lebih-lebih lagi apabila mereka menghentikan pengambilan tersebut.
Mereka ini akan terdedah kepada penyakit sembelit, cerita Ng
berdasarkan pengalamannya.
Jelasnya, proses membuang air besar yang normal dan baik untuk
seseorang ialah sekali sehari. Tapi jika seseorang tidak membuang air
dengan kadar yang sepatutnya, kemungkinan besar, najis yang berada di
dalam usus akan menjadi hitam dan melekat pada dinding usus seterusnya
menjadi toksin dalam tubuh.
Selalunya seseorang hanya akan mengambil tindakan sekiranya sesuatu
penyakit telah berlaku. Seperti yang kita ketahui, banyak penyakit
bermula daripada usus, sebab organ tersebut menjadi tempat pengumpulan
toksin.
Jika ia tidak dikeluarkan maka toksin itu diserap semula dalam badan, katanya.
Justeru, apabila tubuh tidak pernah melakukan proses detox atau nyah
toksin sejak lahir, biasanya tubuh akan menghantar tanda. Sakit kepala
adalah salah satu daripada tanda toksin yang banyak dalam badan, jelas
Ng.
Tanda-tanda seseorang itu banyak toksin Menurut Gracia, seseorang yang mempunyai toksin berlebihan dalam
badan akan berasa letih tanpa sebarang sebab, susah bangun tidur dan
bahagian keliling mata gelap.
Bahagian-bahagian tertentu di permukaan kulit seperti di bahagian
bawah lengah, celah paha dan sebagainya juga akan kelihatan gelap
daripada warna asal kulit.
Banyak angin, alahan, inflamasi pada sendi, sinus, berat badan
meningkat, kehadiran selulit, masalah jerawat dan banyak lagi. Semua ini
adalah tanda-tanda bahawa tubuh perlu menjalani proses nyah toksin bagi
membersihkan ruang yang tersumbat.
Detox umpama agen pencuci yang mengikis dinding usus yang
terlekat dengan sisa buangan yang tidak pernah dibuang dalam tempoh yang
sepatutnya.
Toksin berlebihan mempengaruhi emosi.
Ng yang turut membuat pemerhatian mendalam tentang proses nyah toksin
mendapati, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa jika seseorang
mengalami toksin berlebihan dalam badan ia bukan hanya melibatkan fungsi
anatomi tubuh tetapi emosi juga.
Kita mungkin pernah terserempak atau melihat seseorang yang terlalu
curiga dengan kebersihan. Contohnya, jika individu tersebut telah
membasuh tangan, kemudian dia tersentuh sesuatu yang kita nampak bersih
tapi tidak padanya dan dia cepat-cepat mencuci semula tangannya.
Ini adalah salah satu simptom yang mengaitkan dengan toksin berlebihan dalam tubuh individu tersebut.
Selain itu, individu yang kerap marah-marah, emosional dan sering
tidak tenang, antara lain juga disebabkan oleh kandungan toksin yang
berlebihan dalam tubuh
Ini kerana lymphatic system (sistem limfa) jika tidak berfungsi
sepatutnya menjadikan seseorang tidak boleh duduk diam, degil, tidak
yakin dengan kebersihan dan kelam kabut, katanya.
Buang toksin tidak sesuai untuk ibu mengandung. Ibu mengandung atau yang sedang menyusukan bayi tidak dicadangkan
membuang toksin, tetapi bagi ibu yang sedang merancang untuk hamil boleh
mengamalkan detox sambil mengambil ubat seperti asid folik untuk
perkembangan janin.
Selain itu, membuang toksin menyediakan tubuh badan yang lebih bersih untuk bakal ibu mengandung kelak.
Selepas bersalin dan menyusukan anak adalah disarankan untuk
seseorang ibu itu melakukan detox untuk mengembalikan kesegaran serta
susuk tubuh yang lebih segar dan menawan, ujar Ng.
Cara ekstrem buang toksin
Menurut Ng, antara cara lain yang popular digunakan untuk membuang
toksin ialah diet jus dan diet air. Tetapi ada juga yang memilih cara
yang lebih ekstrem iaitu melalui proses yang dinamakan colonic
irrigation atau mencuci usus.
Cara ini dibuat dengan memasukkan tiub ke dalam usus dan menyedut kotoran yang ada di dalamnya.
Artikel ini diambil dari Utusan Online : Info Kesihatan oleh
NOOR FAZRINA KAMAL 07/07/2008
NOOR FAZRINA KAMAL 07/07/2008
Toksin Meracuni tubuh
No comments:
Post a Comment